Sunday, 29 December 2013

Menjejak Puncak Gunung K2 - Misi Geng Aura Gunung 28 Dec 2013

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t, yang tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w, Nabi junjungan, Rahmat buat sekelian alam...

Gunung K2 adalah gunung kedua tertinggi di dunia selepas Gunung Everest. Tetapi ianya sangat dikenali sebagai Gunung yang paling bahaya di dunia untuk di daki, lebih bahaya dari pendakian Gunung Everest.

Terletak antara negara Pakistan dan negara Republik China. Ketinggiannya mencapai 8,611 meter (26, 251 kaki), lebih dua kali ganda tinggi berbanding dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Malaysia.
Dengan ketinggian yang hanya kurang 237 meter dari Gunung Everest, dikatakan secara purata, setiap 100 pendaki Gunung K2, 29 orang mengalami kemalangan maut, berbanding dengan purata pendakian Gunung Everest, setiap 100 pendaki yang mendakinya, hanya 4 orang yang mati.

Jumlah kematian pendaki yang mendaki yang mendaki Gunung K2 adalah lebih dari 7 kali ganda berbanding kematian pendaki yang mendaki Gunung Everest.

Inilah impian saya sejak sekian lama, menjejakkan kaki ke puncak Gunung K2, Gunung kedua tertinggi di dunia, tetapi Gunung yang paling merbahaya didunia untuk didaki.

Pendakian "Geng Aura Gunung" bersama "Group Penjejak Gunung" mendaki Gunung K2 pada 28 Dec 2013 baru-baru ini, bukanlah saya maksudkan pendakian Gunung K2 seperti yang diatas. Tetapi ianya adalah Misi Pendakian Extreme mendaki dua gunung dalam sehari iaitu Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai yang terletak di Grik, Perak. Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai ini, mempunyai tarikan "rare"nya yang tersendiri. Ianya dapat dilihat tesergam indah dengan jelas dari jalanraya kira-kira 3 kilometer dari Pekan Grik.

Pendakian extreme ini disahut oleh lima orang pendaki tegar, saya dan shafarin dari "Geng Aura Gunung", manakala Hanizamal selaku Ketua Misi Extreme, Fisol dan Johnny, mereka bertiga adalah dari Group "Penjejak Gunung"
Gunung Kenderong-kiri, Gunung Kerunai-Kanan (K2)
Pendakian Gunung Kenderong itu sahaja sudah dikatakan hardcore, trek pendakiannya sangat curam, banyak permukaan berpasir dan batu2 yang longgar, yang menyebabkan batu2 yang dipijak kerap jatuh menggelongsor kebawah dan mungkin membuatkan pendaki tergelincir serta membahayakan juga pendaki-pendaki yang dibelakang.

Manakala, kanan dan kiri trek adalah jurang yang sangat bahaya, jika tidak berhati-hati, kemalangan maut boleh meragut nyawa pendaki. Ditambah pula dengan treknya yang agak terdedah dengan panas terik matahari, membuatkan pendaki cepat mengalami dehidrasi, dahaga dan letih yang melampau. Begitu lah juga dengan pendakian Gunung Kerunai, trek yang lebih kurang hampir sama, kerana kedudukannya yang sebelah menyebelah.Tiada punca air di sepanjang pendakian ke atas. Punca air terakhir adalah di kaki Gunung Kenderong.

Apa yang membuatkan misi pendakian kali ini lebih tiga kali ganda extreme dan mencabar adalah kerana kami melakukan pendakian ke kedua-dua puncak gunung dalam masa sehari. Ditambah pula, trek yang telah sangat tertutup, dirimbuni oleh buluh-buluh dan pokok-pokok tumbang, belukar yang sangat extreme semaknya, hinggakan sekiranya sesiapa yang tidak pernah ke sini, pasti tidak akan menjumpai laluan trek pendakian ke puncak gunung.

Luka-luka akibat terkena duri, ranting dan daun-daun tajam menjadi "teman setia" sepanjang menyusuri trek pendakian dari bawah hingga ke puncak. Bayangkan, keluasan kemsite di punca air terakhir yang dikatakan boleh memuatkan dua buah helikopter, hanya tinggal tujuh peratus dari keluasan asal, kerana semak samun dan pokok-pokok yang telah menutupi kawasan sekitarnya.
Kemsite di punca air terakhir yang hampir hapus

Pendakian kami bermula dengan mendaki Gunung Kerunai terlebih dahulu. Setelah sampai ke puncak, kami berehat seketika, kemudian turun semula ke persimpangan antara dua kaki gunung. Kami berehat seketika di punca air terakhir, sebelum meneruskan pendakian Gunung Kenderong.

Kami bermalam di puncak Gunung Kenderong dan turun semula pada jam 11.30 pagi keesokan harinya untuk kembali ke starting point.

Saya bersama rakan-rakan yang melakukan misi pendakian ini adalah pendaki2 gunung yang tegar, pendaki2 gunung yang berpengalaman. Pandangan peribadi saya terhadap misi pendakian kali ini adalah, ianya sangat extreme, mencabar fizikal dan mental pendaki-pendaki gunung yang berpengalaman, sangat merbahaya, perlu sangat berhati-hati sewaktu mendaki. Oleh itu sekiranya anda berminat untuk menjejakkan kaki ke sini, buatlah persediaan rapi, dan jangan memandang rendah kuasa alam.

Boleh saya katakan, ini adalah Misi Pendakian Gunung penutup untuk tahun 2013 bagi Geng Aura Gunung. Jutaan terima kasih saya ucapkan buat pengasas group "Penjejak Gunung", En Hanizamal, dan semua rakan-rakan pendaki yang terlibat dalam misi extreme ini. InsyaAllah kita akan bertemu lagi di misi pendakian yang mencabar untuk tahun 2014.

Sila klik link di bawah untuk menyaksikan video2 pendakian :

Part 1 - Pendakian Extreme Gunung Kerunai & Kenderong
Part 2 - Pendakian Extreme Gunung Kerunai & Kenderong

Hanizamal, Fisol, Saya, Shafarin dan Johnny
Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai (K2)
Di Puncak Gunung Kerunai


Di Puncak Gunung Kenderong