Monday 20 January 2014

Pengalaman Misteri Mendaki Gunung Hitam & Tazkirah G.A.G


We Came, We Climbed, We Conquered... itulah slogan rasmi Geng Aura Gunung. Idea tersebut tercetus buat pertama kalinya pada bulan Mei 2013, sewaktu aku melakukan misi pendakian "angker", mendaki Gunung Hitam yang telah lama tidak di masuki oleh para pendaki.

Dengan trek yang tertutup, dihendap oleh harimau, mendengar beruk ketawa mengilai2, terlihat Nenek Kebayan sekilas melintas mengutip bunga, diugut oleh penghuni hutan di kalangan makhluk ghaib, semua itu sudah cukup menggerunkan bagi sesiapa yang hanya gemar duduk dalam "zon selesa kehidupan".

"Jika kau tak keluar sebelum maghrib, aku tak benarkan kau keluar dari sini", ugut makhluk ghaib itu.

Fuhhh... samseng pulak makhluk2 ni. Waktu tu jam dah menunjukkan pukul 6.45 petang, aku masih berada di puncak Gunung Hitam dalam perjalanan turun ke "starting point".

Aku tunduk sebentar, memejamkan mata, sambil cuba meninjau-ninjau situasi sebenar. Makhluk2 ni nak cari pasal sungguh, aku masuk cara baik dan aku nak keluar dengan cara baik.

"Kalau kamu tak bagi kami keluar, aku "mandul"kan korang semua", aku pula memberi amaran mengugut makhluk tersebut.

Bukan cara aku untuk mengganggu penghuni2 hutan, mereka juga makhluk Allah. Tetapi jika mereka main kasar, cari pasal dan melampaui batas, aku tidak teragak2 untuk bertempur kerana mempertahankan diri. Alhamdulillah, Selepas aku beri amaran pada makhluk2 tersebut, mereka hanya mendiamkan diri, tidak lagi bersuara atau mengganggu.

Aku teruskan perjalanan untuk balik ke "starting point". Masalah sakit lutut yang agak kronik,  menyebabkan pergerakan pendakian agak perlahan, dan hampir2 saja aku membatalkan hasrat untuk ke puncak. Namun kerana minat dan semangat jati diri, aku gagahkan juga diri untuk menyempurnakan misi ini.

Syukur ke hadrat Allah, akhirnya aku sampai semula ke starting point dalam jam 10 malam, satu pengalaman yang sangat berharga dalam dunia pendakian.

Aku nak cerita sikit pasal slogan GAG - Aku Datang, Aku Daki, Aku Takluk...

Dari awal aku dah cakap dengan semua orang, aku aktif mendaki gunung bukan sebab nak jadi guide gunung, bukan nak cari glamour, bukan nak bermegah-megah. Dan aku tubuhkan group Geng Aura Gunung (GAG) ni, dengan tujuan supaya kawan2 mendaki yang mengikuti trip GAG ni sedikit sebanyak dapat ilmu dan pengalaman yang dapat mendekatkan diri mereka pada Allah. Tuhan pencipta alam. Dan bila kita semakin dekat dengan Allah, sepatutnya adab dan akhlak kita semakin indah pada sesama manusia.

Alam semesta ni umpama sebuah kitab, kita baca dan kita lalui lembarannya sehelai demi sehelai, dan sepatutnya bila melalui lembaran-lembaran tersebut, akan bertambah pengalaman kita, dan yang penting sepatutnya makin bertambah-tambah ilmu, iman dan amal kita kepada Allah s.w.t.

Sepatutnya kita makin kenal diri sendiri, sepatutnya kita makin faham apa itu nilai-nilai kemanusiaan, sepatutnya perasaan kita semakin halus, semakin teliti dan semakin sensitif terhadap apa jua urusan samada Hablumminallah (hubungan dengan Allah) dan Hablumminannas (hubungan dengan manusia).

Pada hakikatnya, barangan yang baik tidak memerlukan kata-kata yang indah. Tak perlu ayat-ayat power atau tak perlu ayat-ayat "poyo" untuk menjadi seorang "otai gunung".

Salah satu sifat orang-orang munafiq adalah selalu memungkiri janji atau selalu berbohong dalam bicara, apakah sikap-sikap sebegini masih kekal pada seorang pendaki gunung yang kononnya tegar dan otai? Dimana letaknya kesan-kesan keinsafan dan ketakjuban menyaksikan keagungan ciptaan Allah di dalam hutan dan puncak-puncak gunung, jika perkara asas macam ni pun kita tak reti nak jaga? Susah sangat ke nak jadi seorang yang jujur?

Kalau dulu mungkin kita suka buang sampah merata-rata, sepatutnya setelah berkali-kali mendaki gunung, kita dah boleh sensitif tetang soal kebersihan, apa2 yang kita bawa masuk dalam hutan, itulah yang kita bawa keluar, jangan suka-suka buang sampah kat dalam hutan, siapa nak kutip balik sampah2 tu? Alam flora? DBKL? Siapa yang masuk Gunung Liang 2-3 hari lepas? Siapa yang melonggok-longgok sampah kat kem Lubuk Antu tu? Ngkorang nak suruh siapa bersihkan sampah2 tu? Hantu?

Kem Lubuk Antu
Masuk hutan ni bukan macam pergi pasaraya, bukan macam pergi kedai runcit, bukan macam pergi melawat muzium negara. Kita kena ada persediaan, setidak-tidaknya persediaan asas. Peraturan yang paling asas tentang aktiviti sebegini ialah, "Jangan ambil mudah". Kalau tak tahu, banyakkan bertanya, kalau malu bertanya...kalau nanti jadi apa-apa hal, ianya bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, tetapi akan menyusahkan semua orang dalam group pendakian tersebut.

Sepatutnya aktiviti sebegini mengajar kita erti berdikari, meningkatkan jati diri, mengajar kita menghargai masa, mengajar kita merindui orang-orang yang kita tinggalkan, menambahkan lagi nilai-nilai positif setiakawan, mengajar kita lebih mengenal siapa diri kita yang sebenar dan siapa kawan-kawan kita yang sebenar.

Kita nak bina atau capai satu-satu kejayaan tu bukannya senang, ngkorang fikirlah sendiri, kita ambil contoh mendaki gunung... penat-lelah, sakit lutut, sakit kaki, memikul beg dan barang-barang yang berat, bila dah terlalu penat ada diantara pendaki yang tidak dapat mengawal emosi, marah-marah, menyumpah-nyumpah, ada yang tak mau teruskan pendakian, ada yang sampai muntah-muntah, adakalanya setelah berhari-hari mendaki barulah dapat menjejakkan kaki di puncak gunung.

Bukan senang nak mencapai puncak, bukan senang nak capai kejayaan. Ingatlah... Puncak Gunung hanya satu destinasi, Pengalaman disepanjang pendakian itulah tujuan sebenar seorang pendaki.

 Kesimpulannya, Slogan GAG - "We Came, We Climbed, We Conquered". Conquered atau takluk tu sebenarnya bukan bermaksud menakluk gunung. Gunung itu sahabat kita, seorang sahabat tidak akan menakluk sahabatnya. "Menakluk" itu sebenarnya bermaksud, menakluk diri sendiri, menakluk keegoan diri, menakluk fizikal, mental, emosional dan spiritual diri sendiri. Bila mendaki kita penat dan kita bersabar, bila kena hujan barang-barang habis basah kita bersabar, bila jatuh atau luka kita bersabar, kita semakin sedar bahawa kita ni sebenarnya hanyalah insan yang kerdil yang tidak ada nilai apa-apa melainkan redha Allah terhadap kita.

wassalam.