Wednesday 2 January 2013

Cabaran Trek Lagenda Gunung Chamah & Ulu Sepat 21-30 Dec 2012 (Part 1)

Sejak mendaftarkan diri untuk menyertai Cabaran Trek Lagenda Mendaki Gunung Chamah & Gunung Ulu Sepat (CUS) pada 21-29 Dec 2012, bermacam-macam andaian dan kerisauan yang bermain di fikiran saya. CUS adalah dua gunung yang termasuk dalam kategori G7, iaitu diantara tujuh gunung yang mempunyai ketinggian lebih tujuh ribu kaki di Semenanjung Malaysia.

Selain dari persedian stamina, persediaan survival di hutan belantara selama 9 hari juga perlu diteliti dan difikirkan. CUS yang terkenal dengan trek dan hutannya yang tebal, ganas, nyamuk, agas, binatang berbisa seperti ular, kala jengking, lipan, semut, binatang buas seperti harimau, beruang, gajah dan lain-lain lagi.

Berkemungkinan juga hujan sepanjang hari, suhu yang terlampau sejuk di kawasan pergunungan, serta bermacam-macam kisah yang menyeramkan dan merisaukan hati para pendaki yang ingin menyahut cabarannya.

Jika kita baca kisah-kisah pendakian CUS oleh pendaki2 yang telah terdahulu melaluinya, sudah pasti kita dapat membayangkan betapa mencabarnya trip ini, apatah lagi trip kali ini akan melalui dan menjejaki Trek Lagenda untuk ke puncak gunung, iaitu trek yang sudah tidak dilalui oleh para pendaki lebih dari 6 tahun.

Tibalah hari yang dinantikan, kami berkumpul di Stesen LRT Gombak sebelum menuju ke Grik, Perak dengan berkongsi-kongsi kereta. Saya yang telah sampai seawal jam 9.30 malam, menanti sahabat2 yang lain. Oleh kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, perjalanan ke Grik hanya bermula pada jam 12 tengah malam.


 
Kami sampai di Stesen Minyak Petronas Grik lebih kurang pada jam 5 pagi. Sementara menantikan masuk waktu subuh, saya tidur sebentar didalam kereta. Selesai Solat Subuh, kami bergerak perlahan2 ke gerai berdekatan untuk sarapan. Dari Bandar Grik, kami ke Pengkalan Trojan, "pintu ke alam pendakian CUS".

 Merenung suasana dan persekitaran Pengkalan Trojan ketika itu, mengingatkan saya tentang kisah "Jurassic Park". "Pintu Masuk" ke tempat yang agak asing dan diluar kotak pemikiran suasana moden di bandar.

Dari situ kami akan menaiki bot untuk ke "Fort Kemar", tanah daratan yang menghubungkan kami dengan Cabaran Trek Lagenda CUS, cabaran terganas dan menggerunkan bagi para pendaki2 gunung.

Apa saja yang akan berlaku selepas ini tidak dapat kami jangka dan kami fikirkan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kami menyertai program ini, akan kami hadapi apa jua rintangannya. Dari Tegap Bersimpuh Baik Rebah Merempuh...

Bersambung...