Wednesday 24 April 2013

Gunung Semangkok (1,824 meter / 5,984 kaki) - Gunung Tertinggi Di Negeri Selangor

Bismillahirrahmanirrahim. Segala Puji Bagi Allah s.w.t Yang Maha Indah dan Maha Mengatur segala sesuatu. Selawat dan Salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w dengan Selawat yang berpanjangan dan berkekalan. Dengan izin dan limpah kurniaNya, walau dalam kesibukan yang melampau, saya masih diberi peluang dan kekuatan untuk terus mencoret pengalaman2 pengembaraan dan pendakian saya. Hampir2 saja saya tidak berpeluang meng-update blog, oleh kerana jadual pengembaraan dan pendakian saya yang terlalu padat, ditambah pula dengan tugas2 saya sebagai seorang perawat.

Sebelum ini saya menyangkakan bahawa Gunung Nuang (1,493 meter / 4,898 kaki), di Hulu Langat adalah gunung yang tertinggi di Selangor. Sehinggalah pada awal bulan April yang lalu, ketika saya mendaki Gunung Pine tree hill dan Twin Peak, melalui Bukit Fraser.

Ketika sampai di Puncak Twin Peak, sekumpulan pendaki dari Raub, Pahang yang kebetulan ada di situ, memberitahu saya bahawa, bertentangan dengan Puncak Twin Peak itu adalah Puncak Gunung Semangkok, Gunung yang tertinggi di Negeri Selangor. Menurutnya, terlalu jarang pendaki yang dapat sampai ke Puncak Gunung Semangkok. Ini adalah kerana treknya agak sukar, tidak berapa jelas, serta agak merbahaya. Mungkin kerana mereka melihat hari itu saya hanya mendaki secara bersendirian, mereka menasihati saya agar jangan naik ke Puncak Gunung Semangkok secara berseorangan. Berulang kali mereka mengingatkan saya. Dengan tersenyum saya menganggukan kepala, tanda faham kebimbangan mereka terhadap saya.

Sekembali dari mendaki Gunung Pine tree hill dan twin peak, sampai saja di rumah, saya mula mencari info berkenaan dengan Gunung Semangkok di internet. Entah mengapa, hati saya melonjak2 untuk ke sana, puncak Gunung Semangkok seolah2 memanggil2, tak senang duduk saya di buatnya.

Benarlah sebagaimana yang pendaki2 tersebut kata, menurut info di internet, Gunung Semangkok adalah Gunung yang tertinggi di Negeri Selangor. Ianya mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.

Namun, apa yang memeningkan saya, boleh dikatakan hampir2 tiada langsung info berkenaan dengan pengalaman2 pendaki yang pernah mendaki Gunung Semangkok ini. Setelah puas mencari, tiba2, saya terjumpa satu blog yang menceritakan tentang Gunung Semangkok, namun penceritaannya tidak lengkap, penceritaan yang agak umum, tidak ada banyak gambar mahupun video yang boleh dijadikan panduan untuk mendaki. Menurut blog tersebut, pendakian Gunung Semangkok dikategorikan sebagai tahap "Hardcore 5 Bintang".

Saya nekad untuk menghubungi tuan punya blog tersebut. Setelah beberapa kali berbalas email, walaupun perkongsian info-nya agak terhad, akhirnya saya rasa yakin, insyaAllah saya boleh sampai ke Puncak Gunung Semangkok.

Pada awalnya, saya bercadang untuk mendaki Gunung Semangkok di pertengahan bulan Mei, selepas saya kembali dari Misi Pendakian Gunung Mulu dan Pinaccle nanti. Tetapi, hati ini seperti tidak dapat di tahan2 lagi, meronta2 dan memberontak ingin agar saya segera meredah hutan di sempadan Pahang dan Selangor untuk menyahut panggilan Puncak Gunung Semangkok. Akhirnya, saya membuat keputusan nekad untuk memulakan pendakian pada 20 April 2013 yang lalu.

Saya mula mengatur "line-up" pendakian, tetapi meng-hadkan kepada 4-5 orang pendaki sahaja. Saya tidak berani mengambil tanggungjawab dan risiko jika terlalu ramai peserta, ini adalah kerana saya sendiri tidak tahu, apakah perkara2 yang bakal saya tempuh sepanjang pendakian nanti. Bagaimana keadaan trek, tahap bahaya, "water point" di sepanjang pendakian, semua info2 itu sangat terhad dalam pengetahuan saya. Saya juga bertekad didalam hati, sekiranya pendakian ini berjaya, insyaAllah saya akan mendokumenkan perjalanan pendakian ini, moga2 ianya menjadi rujukan yang bermanfaat untuk pendaki2 lain yang bercadang hendak mendaki Gunung Semangkok nanti.

Pintu Masuk ke Gunung Pine Tree Hill, Twin Peak dan Gunung Semangkok
Pada 20 April 2013, bersamaan dengan hari Sabtu, hari penamaan calon untuk pilihanraya ke 13 bagi Negara Malaysia, tepat jam 9.55 minit pagi, saya beserta 3 orang pendaki yang lain, En Hafiz, En Azmir dan En Zainul mengatur langkah, memasuki "Pintu Rimba" melalui Gerbang Pine Tree Trail di Bukit Fraser, untuk Misi Cabaran Gunung Semangkok.

En Hafiz seorang pendaki yang sangat berpengalaman, dan pengalaman beliau itu boleh saya kategorikan sebagai tahap "guide". Oleh itu, secara tidak rasmi, saya lantik beliau menjadi ketua ekspedisi ini. Begitu juga dengan En Azmir, sudah berpengalaman mendaki beberapa gunung sebelum ini, jadi saya tidak terlalu risaukan beliau, dan saya yakin beliau boleh menyesuaikan diri dengan pendakian "hardcore" sebegini.

Namun, bagi En Zainul, beliau belum pernah berpengalaman mendaki gunung, cuma beliau pernah mendaki Bukit Broga di Semenyih. Berulang2 kali saya mengingatkan beliau bahawa pendakian ini adalah tahap "hardcore" dan saya tidak dapat menjamin keselesaan dan perasaan nyaman didalam misi ini. Dengan penuh semangat, En Zainul tetap juga mahu menyertai misi ini dan bersedia menerima cabaran2 yang mendatang disepanjang pendakian nanti.

Pendakian Gunung Semangkok ini akan melalui puncak Gunung Pine Tree Hill dan Puncak Twin Peak. Dengan perjalanan yang santai dan bersahaja, kami mengambil masa lebih kurang 2 jam 40 minit untuk sampai ke Puncak Pine Tree Hill, dan ditambah lagi dengan lebih setengah jam perjalanan untuk kami menjejakkan kaki ke puncak Twin Peak. Setelah menikmati makan tengahari di puncak Twin Peak, maka bermula lah perjalanan kami ke Puncak Gunung Semangkok.

Di Puncak Gunung Pine Tree Hill

Di Puncak Gunung Twin Peak
Gunung Semangkok (anak panah merah), pemandangan dari Puncak Gunung Twin Peak

Bersambung...