Monday, 10 March 2014

Part 2 - Pendakian Gunung Trusmadi (Melalui Kg Sinua) - Gunung Kedua tertinggi di Malaysia (2 & 3 Mac 2014)

Kelihatan puncak gunung Kinabalu dari Gunung TrusMadi
Sambungan dari Part 1.....  Malam itu aku tidur awal... seawal jam 8.30 malam... Masih kedengaran suara wak dan kawan2 yang lain bermain teka-teki sambil ketawa terbahak-bahak... Aku tersenyum sendirian didalam khemah ultralight ku ini...

Entah mengapa sukar pula aku melelapkan mata malam ini... esok awal2 pagi nak mendaki ke puncak... dalam sedar tak sedar tiba2 kedengaran bunyi jam loceng, mengejutkan aku.. Sudah pukul 1.15 pagi. Aku bergegas bangun dan bersiap-siap.

Tepat jam 2.15 pagi, setelah taklimat ringkas diberikan oleh guide, kami memulakan pendakian, perlahan-lahan.

Pendakian ke puncak didalam gelap gelita itu hanya ditemani oleh lampu-lampu headlamp. Aku rasa mengantuk sangat2... Asal guide berhenti menunggu orang belakang, aku akan mengambil kesempatan itu untuk duduk dan memejamkan mata.

Pendakian kurasakan begitu sukar... aku mengantuk... mengantuk dan mengantuk... kelihatan pokok-pokok didepan berbayang-bayang... rasa macam nak pitam pun ada...

Setelah agak jauh kedepan, guide menyarankan kami berhenti rehat untuk menunggu kawan2 di belakang. Aku tidak membuang masa terus duduk, kulekapkan muka pada lutut, aku pejamkan mata dan tidur. Agak-agak dalam 10 minit juga aku dapat lelapkan mata. Rupa-rupanya kawan2 yang berehat bersama aku semuanya tidur juga... Setelah kawan2 dibelakang agak hampir dengan kami, guide mengajak kami semua meneruskan pendakian ke puncak. Kali ini, aku rasakan lebih segar, maklumlah dapat tidur 10 minit atas trail... :-)
Puncak Gunung Kinabalu dari Puncak Gunung TrusMadi
Subuh menjelang tiba, aku berhenti sebentar di trail untuk menunaikan solat subuh, ketika ini aku sudah berseorangan, ada yang sudah kedepan, dan ada yang masih di belakang. Selesai solat aku teruskan perjalanan. Setapak demi setapak...  pancaran sinar matahari mula kelihatan menembusi di celah-celah daun pokok. Warnanya kuning keemasan.

Lebih kurang 300 meter sebelum sampai ke puncak, ada satu kawasan yang dipenuhi pokok-pokok yang rendah, dari tepi tebing permatang kelihatan jelas Gunung Kinabalu. Aku teringatkan kawan-kawan Geng Aura Gunung, yang ketika ini juga sedang menuju ke puncak Gunung Kinabalu dari tempat penginapan mereka di Gunting Lagadan. Adakah mereka semua dah sampai ke puncak? Wallahu'aq'lam.

Setelah puas mengambil beberapa keping gambar, aku teruskan perjalanan ke puncak, ketika ini, hari telah terang. Di sepanjang perjalanan menghampiri puncak kelihatan banyak pokok-pokok periuk kera yang berlainan rupa dari pelbagai spesis.

Akhirnya, aku sampai ke Puncak Gunung Trusmadi, Gunung yang kedua tertinggi di Malaysia. Aku menarik nafas lega. Penat sungguh ku rasakan... adakah kerana tak cukup tidur... atau memang pendakian ini agak sukar...

Entahlah... Aku mula terfikir, mampukah aku meneruskan misi pendakian solo ku, mendaki Gunung Tambuyukon setelah turun dari Gunung TrusMadi ini? Biarlah... yang penting selepas ini, aku nak turun ke starting point dulu. Harap-harap esok hilang lah serik penat pendakian TrusMadi ini.. :-)


Setelah bergambar dan berehat hampir satu jam, aku turun semula menuju ke kem 2, mengikut kata guide, jika sesiapa yang sudah siap awal, boleh lah terus turun ke starting point. Turun dari puncak, aku mengamati sungguh2 pemandangan di sekitar, bukit bukau.. tumbuh-tumbuhan... langit yang membiru... aku leka mengambil gambar... beberapa orang kawan-kawan yang lain memintas, dan aku biarkan sahaja kerana aku nak ambil gambar puas2. Entahkan bila aku akan datang ke sini lagi.

Beirut di puncak gunung
 Selesai bergambar, aku teruskan perjalanan, dan aku sampai semula di "kem 2" lebih kurang jam 12.10 tengahari. Aku mengemaskan khemah dan peralatan2 pendakian, setelah selesai makan tengahari aku turun dahulu bersama beberapa orang kawan-kawan yang lain.

Kumpulan yang pertama sampai semula di starting point lebih kurang jam 6.10 petang. Dan aku berjaya menjadi orang yang pertama masuk ke bilik air dan mandi.. :-)

Malam ini, kami akan tidur di sini. Awal pagi esok aku akan menaiki van ke Pekan Keningau dan seterusnya ke daerah Ranau, menuju ke Kinabalu Park, mendaftarkan diri untuk pendakian Gunung Tambuyukon pula pada 5 Mac. Manakala kawan2 MPSJ yang lain akan ke Kota Kinabalu untuk bermalam di hotel dan seterusnya pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang seterusnya.
..... Bersambung di kisah Pendakian Gunung Tambuyukon, Gunung yang ketiga tertinggi di Malaysia....