Wednesday, 1 January 2014

Pendakian Gunung Kinabalu - Ekspedisi Gurkha Hut - September 2013

Gurkha Hut
Bismillahirrahmanirrahim... Syukur ke hadrat Allah, yang telah memberi aku kelapangan masa untuk aku terus menyambung aktiviti menulis, menaip, meluahkan perasaan, berkongsi kisah-kisah pendakian di blog yang sekian lama aku dah tak update ni... Sebenarnya.. sebelum misi Extreme Pendakian Gunung K2 (Kerunai & Kenderong) yang aku update kat blog beberapa hari yang lepas, dah terlalu banyak pendakian gunung-gunung yang telah aku lakukan. Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurniaNya, kebanyakan gunung-gunung yang aku hajatkan telah berjaya aku jejaki.

Jadi.. dengan kesempatan masa yang telah diberi Allah s.w.t kepada aku, maka insyaAllah.. aku akan mengemaskini, kisah-kisah pendakian gunung yang telah aku lalui satu demi satu.

Kali ini, aku nak berkongsi kisah pendakian Gunung Kinabalu, tetapi pendakian yang lain dari yang lain, misi pendakian yang istimewa yang jarang-jarang dilakukan oleh pendaki-pendaki yang pernah mendaki Gunung Kinabalu, iaitu Ekspedisi Gurkha Hut.

Gurkha Hut adalah satu pondok yang terletak, boleh dikatakan berhampiran dengan Puncak Low (Low's peak), iaitu puncak yang telah diwartakan sebagai puncak yang tertinggi di Pergunungan Kinabalu. Sebenarnya, jika kita membuat sedikit pembacaan berkenaan dengan pergunungan Kinabalu, kita akan dapati bahawa di pergunungan Kinabalu terdapat banyak juga puncak-puncak gunung yang lain, seperti Puncak Oyayubi, Puncak St John, Puncak King Edward, Puncak Donkey Ears, Puncak Tunku Abdul Rahman, Puncak Duit Seringgit dan lain-lain lagi.

Ekspedisi pendakian kali ini adalah selama 4 hari 3 malam. Hari pertama aku sampai di Sabah, aku bermalam di sebuah resthouse seperti bilik asrama, aku pun dah tak ingat dah apa nama resthouse tu. Tapi, memang murah. Dari Kinabalu Park, kita turun ke arah jalan raya, menghala ke kiri, lebih kurang 8 minit berjalan, maka kita akan berjumpa dengan resthouse tersebut di sebelah kiri.
Berlatarbelakangkan Kinabalu Park
Ekspedisi kali ini disertai oleh 8 orang pendaki termasuk aku. Alhamdulillah, cuaca sangat baik, walaupun ada sedikit hujan, tetapi keseluruhannya cuaca menyebelahi kami. Awal pagi sebelum mendaki, kami bersarapan di kedai makan, kat tepi jalan berhampiran Kinabalu Park tu. Selesai urusan pendaftaran, seperti biasa kami menaiki van menuju ke Timpohon Gate.

Timpohon Gate????? ye.. Laluan kami adalah melalui Timpohon Gate... Entah kali yang keberapa aku dah melalui laluan ini... namun, resmi pendaki, tidak boleh memandang rendah pada setiap pendakian, walaupun sudah beratus kali atau beribu kali pendakian yang sama telah dilalui, tidak boleh sama sekali pendaki memandang remeh atau ringan terhadap pendakian tersebut.
Maka aku pun dengan sabar melalui, satu persatu pondok2 rehat yang ada disepanjang pendakian, menuju ke Laban Rata, kami dah pakat untuk berkumpul di RestHouse Laban Rata, sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Sayat-Sayat untuk berkhemah di sana.

Di sepanjang pendakian beberapa kali aku berselisih dengan satu kumpulan pendaki yang juga melakukan satu misi yang jarang-jarang dilakukan oleh pendaki gunung Kinabalu, iaitu Ekspedisi Kotal Road... mereka adalah terdiri dari Ngai, Nabil (Allahyarham) dan beberapa pendaki wanita yang aku tak ingat nama mereka.

Di Laban Rata RestHouse
Dipendekkan cerita, aku sampai di Laban Rata, ketika itu hujan telah turun.. tak ingat jam berapa.. kami berkumpul di sana, sementara ketua kumpulan kami berbincang dengan guide berkenaan dengan perancangan seterusnya, adakah perlu kami meneruskan perjalanan ke Kem Sayat-Sayat, atau bermalam di Laban Rata... ini adalah kerana memandangkan hari pun telah gelap, dan hujan, adalah merbahaya untuk berkhemah di Kem Sayat-Sayat, kerana berkemungkinan limpahan air yang deras akibat hujan akan menimbulkan situasi buruk yang tidak dijangka.

Tak lama kemudian, guide dan ketua kumpulan kami datang, dan memberitahu bahawa kami boleh tumpang bermalam di sebuah kabin, lengkap dengan katil 2 tingkat. Aku tak pasti kabin ni untuk apa.. rasa-rasa aku, ini mungkin kabin penginapan untuk guide-guide gunung Kinabalu.
Dalam Kabin
Kami pun bergegas mengangkat beg dan menuju ke kabin tersebut. Rupa-rupanya, kumpulan Ngai dan Nabil (Allahyarham) juga bermalam di situ. Lengkap dengan bilik air, walaupun kabin tersebut agak sempit, tetapi cukup selesa untuk kami sebagai "pendaki ekspedisi".

Malam itu, kami tidur lena, walaupun cuaca agak sejuk. Suhu mencecah 4 darjah celsius. Alhamdulillah, kabin yang tertutup, tilam dan sleeping bag yang tebal, membantu aku dari "meroyan" kesejukan... takut sejuk???.. tak takut.. seram je... :-)

Pagi esok kami bersiap-siap untuk meneruskan pendakian, setelah sarapan, kami menuju ke destinasi seterusnya iaitu Gurkha Hut. Satu kebanggaan bagi sesiapa yang pernah sampai ke Gurkha Hut ini, kerana tempat ni tidak boleh di datangi sebarang pendaki, perlu ada permit khas.
Tiada kata secantik bahasa... Tiada gambar secantik gambaran yang dilihat dengan mata kepala sendiri... jadi... walaupun aku upload kat blog ni macam-macam gambar pendakian, ianya tak sama dengan kita lihat dan alami sendiri.

Kami sampai di Gurkha Hut sebelah petang, oleh kerana pondok Gurkha Hut ni cuma boleh muatkan 5 orang maksimum untuk bermalam, maka aku dengan baik hatinya telah meng-offer-kan diri untuk tidur diluar sahaja, di dalam khemah. Satu pengalaman yang agak membekukan tubuh badan... :-) nasib baik malam tu hujan dah berhenti.


Aku cukup seriau... atau risau.. atau khuatir jika bergantung/berkongsi khemah dengan orang lain... kenapa? Prinsip aku dalam pendakian adalah "persediaan rapi". Dan sekiranya aku dah lakukan persediaan rapi, jika apa-apa perkara diluar jangkaan berlaku, aku dah cukup redha dah...

Dalam ekspedisi ni aku tak bawak khemah, aku bersetuju untuk berkongsi khemah dengan kawan-kawan sependakian. Jadi aku tak pasti bagaimana kondisi khemah tersebut, dan aku tak pasti bilakah kali terakhir kawan kesayangan aku ni menguji khemah tersebut, samada ianya dalam kondisi yang baik atau ada mengalami kebocoran di mana-mana.
Pada malam itu, terbuktilah keseriauan atau kekhuatiran atau kerisauan yang aku fikir-fikir tersebut, walaupun hujan tidak beberapa lebat, tetapi aku dapati khemah tempat aku nak bermalam tu dimasuki air hujan. Nasib menyebelahi aku, ditakdirkan Allah hujan berhenti, maka tiada lagi masalah kebocoran khemah pada malam tersebut.

Tetapi satu perkara yang tidak aku sangka telah berlaku, kesejukan di kawasan pergunungan Kinabalu tersebut (Gurkha Hut) telah menewaskan sleeping bag ku yang selama ini belum pernah dikalahkan lagi oleh mana-mana kesejukan pergunungan. Sleeping bag ku tewas.. aku tidur dalam keadaan yang tidak lena, atau tidur-tidur ayam kfc, kerana menggigil kesejukan. Tak mengapa.. aku bersabar dan menempuh segala ujian yang aku sendiri cari pasal.... siapa suruh naik gunung.. kan..kan..kan.. :-)
Kesengsaraan "pembekuan diri" tersebut berakhir pada jam 4 pagi. Kedengaran dua orang rakan sependakian yang tidur dalam pondok Gurkha Hut, keluar dari pondok untuk menuju ke Puncak Low, iaitu puncak yang diwartakan tertinggi di pergunungan Kinabalu. Aku keluar dari khemah, dan mereka mengajak aku untuk turut serta.

Perancangan mereka ini tiada didalam tentatif, kalau ikut jadual kami akan menaiki Puncak Low pada siang hari nanti, lagipun aku dah pernah jejakkan kaki ke puncak tu sebelum ni, ngkorang pergilah, aku nak tidur.
Oleh kerana dua orang telah keluar dari pondok Gurkha Hut, maka adalah tempat tidur yang kosong di situ. Dengan tidak berlengah lagi, aku capai karrimate dan sleeping bag dalam khemah, lalu berpindah tidur didalam pondok. Fuhhh... lega.. baru lah rasa macam "mamalia"... berdarah panas... kalau tak... rasa macam makhluk reptilia atau amfibia je... berdarah sejuk... menggigil-gigil dalam khemah.. :-)

Panjang pulak kisah ni.. ngkorang tak boring ke baca kisah ni? taakkk kan..? taakkk kan...? Ni Ekspedisi "rare" ni.. bukan semua orang pernah ikut ekspedisi macam ni... aku cerita sikit lagi laa ye...

Dipendekkan cerita yang tak berapa nak pendek ni,  hari pun dah siang, lepas sarapan, kami berkemas-kemas untuk menjelajah di persekitaran kawasan pergunungan di situ. Kawan kami yang dua orang tadi pun dah turun dari puncak, guide kami membebel la jugak pasal khuatir apa-apa hal berlaku terhadap mereka. Maklumlah mereka pergi berdua tanpa guide... takpe laa.. janji semua dah selamat...

Selesai berkemas kami pun memulakan penjelajahan kami.... ok.. ngkorang tengok-tengok laa gambar-gambar yang aku upload kat bawah ni ye.. nanti aku sambung lagi cerita ni di posting yang lain insyaAllah...


















BERSAMBUNG DI POSTING AKAN DATANG....

Sunday, 29 December 2013

Menjejak Puncak Gunung K2 - Misi Geng Aura Gunung 28 Dec 2013

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t, yang tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w, Nabi junjungan, Rahmat buat sekelian alam...

Gunung K2 adalah gunung kedua tertinggi di dunia selepas Gunung Everest. Tetapi ianya sangat dikenali sebagai Gunung yang paling bahaya di dunia untuk di daki, lebih bahaya dari pendakian Gunung Everest.

Terletak antara negara Pakistan dan negara Republik China. Ketinggiannya mencapai 8,611 meter (26, 251 kaki), lebih dua kali ganda tinggi berbanding dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Malaysia.
Dengan ketinggian yang hanya kurang 237 meter dari Gunung Everest, dikatakan secara purata, setiap 100 pendaki Gunung K2, 29 orang mengalami kemalangan maut, berbanding dengan purata pendakian Gunung Everest, setiap 100 pendaki yang mendakinya, hanya 4 orang yang mati.

Jumlah kematian pendaki yang mendaki yang mendaki Gunung K2 adalah lebih dari 7 kali ganda berbanding kematian pendaki yang mendaki Gunung Everest.

Inilah impian saya sejak sekian lama, menjejakkan kaki ke puncak Gunung K2, Gunung kedua tertinggi di dunia, tetapi Gunung yang paling merbahaya didunia untuk didaki.

Pendakian "Geng Aura Gunung" bersama "Group Penjejak Gunung" mendaki Gunung K2 pada 28 Dec 2013 baru-baru ini, bukanlah saya maksudkan pendakian Gunung K2 seperti yang diatas. Tetapi ianya adalah Misi Pendakian Extreme mendaki dua gunung dalam sehari iaitu Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai yang terletak di Grik, Perak. Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai ini, mempunyai tarikan "rare"nya yang tersendiri. Ianya dapat dilihat tesergam indah dengan jelas dari jalanraya kira-kira 3 kilometer dari Pekan Grik.

Pendakian extreme ini disahut oleh lima orang pendaki tegar, saya dan shafarin dari "Geng Aura Gunung", manakala Hanizamal selaku Ketua Misi Extreme, Fisol dan Johnny, mereka bertiga adalah dari Group "Penjejak Gunung"
Gunung Kenderong-kiri, Gunung Kerunai-Kanan (K2)
Pendakian Gunung Kenderong itu sahaja sudah dikatakan hardcore, trek pendakiannya sangat curam, banyak permukaan berpasir dan batu2 yang longgar, yang menyebabkan batu2 yang dipijak kerap jatuh menggelongsor kebawah dan mungkin membuatkan pendaki tergelincir serta membahayakan juga pendaki-pendaki yang dibelakang.

Manakala, kanan dan kiri trek adalah jurang yang sangat bahaya, jika tidak berhati-hati, kemalangan maut boleh meragut nyawa pendaki. Ditambah pula dengan treknya yang agak terdedah dengan panas terik matahari, membuatkan pendaki cepat mengalami dehidrasi, dahaga dan letih yang melampau. Begitu lah juga dengan pendakian Gunung Kerunai, trek yang lebih kurang hampir sama, kerana kedudukannya yang sebelah menyebelah.Tiada punca air di sepanjang pendakian ke atas. Punca air terakhir adalah di kaki Gunung Kenderong.

Apa yang membuatkan misi pendakian kali ini lebih tiga kali ganda extreme dan mencabar adalah kerana kami melakukan pendakian ke kedua-dua puncak gunung dalam masa sehari. Ditambah pula, trek yang telah sangat tertutup, dirimbuni oleh buluh-buluh dan pokok-pokok tumbang, belukar yang sangat extreme semaknya, hinggakan sekiranya sesiapa yang tidak pernah ke sini, pasti tidak akan menjumpai laluan trek pendakian ke puncak gunung.

Luka-luka akibat terkena duri, ranting dan daun-daun tajam menjadi "teman setia" sepanjang menyusuri trek pendakian dari bawah hingga ke puncak. Bayangkan, keluasan kemsite di punca air terakhir yang dikatakan boleh memuatkan dua buah helikopter, hanya tinggal tujuh peratus dari keluasan asal, kerana semak samun dan pokok-pokok yang telah menutupi kawasan sekitarnya.
Kemsite di punca air terakhir yang hampir hapus

Pendakian kami bermula dengan mendaki Gunung Kerunai terlebih dahulu. Setelah sampai ke puncak, kami berehat seketika, kemudian turun semula ke persimpangan antara dua kaki gunung. Kami berehat seketika di punca air terakhir, sebelum meneruskan pendakian Gunung Kenderong.

Kami bermalam di puncak Gunung Kenderong dan turun semula pada jam 11.30 pagi keesokan harinya untuk kembali ke starting point.

Saya bersama rakan-rakan yang melakukan misi pendakian ini adalah pendaki2 gunung yang tegar, pendaki2 gunung yang berpengalaman. Pandangan peribadi saya terhadap misi pendakian kali ini adalah, ianya sangat extreme, mencabar fizikal dan mental pendaki-pendaki gunung yang berpengalaman, sangat merbahaya, perlu sangat berhati-hati sewaktu mendaki. Oleh itu sekiranya anda berminat untuk menjejakkan kaki ke sini, buatlah persediaan rapi, dan jangan memandang rendah kuasa alam.

Boleh saya katakan, ini adalah Misi Pendakian Gunung penutup untuk tahun 2013 bagi Geng Aura Gunung. Jutaan terima kasih saya ucapkan buat pengasas group "Penjejak Gunung", En Hanizamal, dan semua rakan-rakan pendaki yang terlibat dalam misi extreme ini. InsyaAllah kita akan bertemu lagi di misi pendakian yang mencabar untuk tahun 2014.

Sila klik link di bawah untuk menyaksikan video2 pendakian :

Part 1 - Pendakian Extreme Gunung Kerunai & Kenderong
Part 2 - Pendakian Extreme Gunung Kerunai & Kenderong

Hanizamal, Fisol, Saya, Shafarin dan Johnny
Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai (K2)
Di Puncak Gunung Kerunai


Di Puncak Gunung Kenderong

Thursday, 25 July 2013

Tidur Bersendirian di Puncak Gunung Yong Belar (ketinggian 7,156 kaki)


Gunung Yong Belar merupakan sebuah gunung di sempadan negeri Perak Darul Ridzuan dengan Pahang Darul Makmur dan Kelantan Darul Naim, Malaysia dan mempunyai ketinggian 2,181 meter (7,156 kaki). Gunung ini mengandungi hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas.

Gunung Yong Belar mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.

Pengalaman manis ketika melakukan xpdc TransTitiwangsa V2 (mendaki puncak2 gunung di Banjaran Titiwangsa selama 8 hari) pada bulan Februari 2013 yang lalu. Meng"Khatam"kan pendakian gunung2 G7 (ketinggian lebih 7,000 kaki) dengan pengalaman yang unik.

Saksikan video di puncak Gunung Yong Belar.   Video Di Puncak Gunung Yong Belar (sila klik pada link)

Thursday, 11 July 2013

Mendaki Gunung Tumang Batak - 7 Julai 2013

Puncak Gunung Tumang Batak
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala Puji Bagi Allah Yang Memiliki dan Mengatur Setiap zarah kewujudan. Selawat dan Salam yang Berkekalan untuk Baginda Rasulullah s.a.w cahaya sekelian alam.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan yang dimuliakan Allah s.w.t dan dikhususkan untuk umat Baginda Rasulullah s.a.w.

Betapa sibuknya saya, sehingga tidak sempat untuk mengemaskini blog berkenaan dengan misi2 pendakian saya. Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja gunung2 yang saya daki.

Sedangkan kisah pendakian Gunung Semangkok yang lalu pun belum habis saya sudahkan, inikan pula misi2 pendakian Gunung2 yang lain. Kesimpulannya, misi2 pendakian gunung saya lebih kerap dan pantas berbanding dengan kerja2 mengemaskini blog. Ini adalah kerana saya ingin mengambil kesempatan dengan keadaan cuaca yang kering sekarang, maklumlah... jika tiba musim hujan nanti, misi2 pendakian mungkin terpaksa dikurangkan ataupun "Setting mode" pendakian terpaksa diubah untuk disesuaikan dengan musim hujan pula.

Puncak Gunung Liang Barat
Saya ingin memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Robbul 'Alamin dengan izin dan limpah kurniaNya, tercapai juga hajat saya untuk menjejakkan kaki ke Puncak Gunung Tumang Batak yang terletak di sempadan perak dan pahang serta mempunyai ketinggian setinggi 2,082 meter (6,830 kaki).

Gunung Tumang Batak ini sangat jarang di masuki oleh para pendaki, menyebabkan treknya hampir2 tiada atau terputus2, kerana telah ditutupi oleh pokok2 hutan, pokok2 buluh, pokok2 berduri dan juga banyak pokok2 tumbang. Laluan treknya bermula dari puncak Gunung Liang Timur, dan ada juga info yang mengatakan ada laluan lain yang dimasuki pendaki melalui Ulu Slim.

Dikatakan ianya adalah kawasan Hulu Sungai Merah, berada di utara dari garis sempadan tersebut. Di sini ada banyak gua kecil tempat persembunyian komunis. Kawasan ini adalah Kubu terakhir komunis yang terakhir menyerah diri pada tahun 1984, ianya antara base camp terbesar komunis di Tanah melayu.

Pada asalnya saya bercadang untuk mendaki Gunung Tumang Batak ini bersama sahabat saya En Khirman Khalid, tetapi beliau terpaksa membatalkan perancangannya kerana sebab2 yang tidak dapat dielakkan.
Puncak Gunung Liang East
Oleh kerana saya merasakan Puncak Gunung Tumang Batak ini sudah memanggil2 saya sejak dari beberapa minggu yang lalu, maka saya teruskan juga hajat mendaki walaupun tanpa En Khirman Khalid.
 

Untuk mendaki Gunung Tumang Batak ini, terlebih dahulu saya perlu mendaki ke puncak Gunung Liang Barat dan puncak Gunung Liang Timur, dari puncak gunung tersebut barulah saya memasuki trek pendakian ke Gunung Tumang Batak.

Secara peribadinya saya merasakan ini adalah satu pengalaman pendakian yang sangat Eksklusif dan bertaraf Elit serta kategori "rare". Terlalu sedikit info yang kita boleh perolehi berkenaan dengan Gunung Tumang Batak ini dan tidak ramai yang pernah menjejakkan kaki ke sini.

Bagi saya, pendakian kali ini, jika hendak di"rate" kan dengan berapa bintang, maka tiada bintang yang dapat saya nilaikan, kerana ianya terlalu bersifat "sentimental value"

Disebabkan oleh kerana terlalu jarang pendaki mendaki Gunung Tumang Batak ini, maka treknya sangat samar, habis tertutup dengan rimbunan pokok2 hutan serta berduri. Ditambah pula banyak pokok2 besar yang tumbang menyebabkan trek laluan ke puncak HAMPIR2 TIADA dan treknya TERPUTUS2.

Puncak Gunung Pertama (Batu Sempadan Besar)
Banyak masa yang saya habiskan dalam pendakian untuk menebas pokok2 hutan dan berduri yang menutupi sepanjang trek. Menyusup di celah2 pokok2 besar yang tumbang, merangkak di celah2 batu, menuruni curam2 yang berbahaya, semuanya itu berbaloi apabila dengan izinNya, saya berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Tumang Batak tepat jam 4 petang.

Oleh kerana masa terlalu suntuk, saya tidak berada lama di puncak. Beberapa ketika saya menikmati pemandangan di kawasan puncak seperti taman yang dijaga, indah dan mendamaikan jiwa. Setengah jam kemudian saya berpatah kembali dan selamat sampai di Puncak Gunung Liang Timur pada jam 9.00 malam.

Sekali lagi syukur ke hadrat Allah s.w.t, bagi saya ini adalah hadiah muqaddimah untuk menyambut dan meraikan kedatangan Bulan Ramadhan, yang mana saya akan merehatkan diri dari misi2 pendakian selama sebulan, insyaAllah.

Di Puncak Gunung Tumang Batak (Samsung Galaxy Note II -Timer Mode)

Suasana Berkabus
Sarang Semut
Kumbang Malam
  Link video ringkas Youtube, (Sila Klik pada link) :  Geng Aura Gunung - Ustaz Azrin Mendaki Gunung Tumang Batak 

(Oleh kerana terlalu sibuk mencari2 trek, menebas dan menempuh segala macam "kegabanan" dalam pendakian, sedikit benar video yang dapat saya ambil dalam misi pendakian Gunung Tumang Batak ini..

Wassalam

Thursday, 25 April 2013

Pendakian Gunung Semangkok - Part 2

Sambungan dari kisah yang lalu...

Tepat jam 2 petang, kami berempat bergerak turun dari Puncak Gunung Twin Peak menyusuri trek ke Gunung Semangkok. Check Point kami selepas ini adalah satu kawasan yang saya difahamkan adanya sumber air. Berpandukan dengan pengalaman yang kami ada, berbekalkan dengan bantuan alat GPS, akhirnya tepat jam 3.25 minit petang, kami sampai di satu kawasan yang ada ditandakan dengan signboard "waterpoint". Namun, setelah hampir 10 minit mencari, kami tidak berjumpa dengan "waterpoint" tersebut, ini adalah kerana denai yang ada telah dilitupi dengan pokok2 dan semak samun.
Selepas hampir satu setengah jam mendaki, kita akan bertemu dengan kawasan ini.
 Oleh kerana kami tidak mahu membuang masa, kami meneruskan perjalanan menuju ke check point seterusnya, iaitu Kem Sungai Merah. Kami bercadang untuk berhenti di Kem Sungai Merah dan berkhemah di situ. Ini adalah kerana, menurut maklumat yang saya dapat, di kem sungai merah, adanya anak sungai. Ini memudahkan kami untuk memasak, mengambil air untuk minuman dan mandi.

Tiba di satu kawasan yang agak curam, kelihatan ada tali yang di ikat di pangkal pokok hingga ke bawah curam. Kami melalui kawasan yang agak licin itu sambil berborak2. Entah mengapa ketika itu saya agak leka dan tidak berhati2, tiba2 saya tergelincir ke bawah curam, dan kepala saya terhantuk ke batang pokok, "Berdentum!!!"... kuat sungguh bunyi kepala saya terhantuk ke pokok. Saya terdiam sebentar, rakan2 yang lain tergamam melihat keadaan saya sebegitu. Ketika itu saya seolah2 menanti apakah yang akan berlaku seterusnya.. adakah saya akan pengsan... adakah darah meleleh dari kepala saya..??? Semua itu bermain dalam fikiran.
Saya tergelincir dan kepala terhantuk dibatang pokok ini
Perlahan2 saya meraba bahagian kepala yang terhantuk itu, merasa kalau2 ada darah yang mengalir. "Errmm... takde darah pun".. kata saya dalam hati. Saya cuba merasakan batang pokok tersebut dengan tangan, saya dapat rasakan, ada akar2 halus yang berduri melilit pokok tersebut.. sungguh tajam.

Saya cuba bangun, tapi tidak mampu bergerak. Ini adalah kerana saya memikul beg yang besar dan agak berat. Zainul datang menghulurkan tangan membantu saya untuk bangun. Setelah beberapa ketika, saya bersedia untuk menyambung kembali perjalanan. Terasa leher dan kepala saya agak pedih, kerana luka akibat terhantuk pada pokok yang berduri tadi. Lantas Hafiz membantu menyapukan minyak ke leher dan kepala saya untuk menghentikan darah yang baru hendak mengalir. Alhamdulillah, tiada kecederaan serius. Harap2 saya tidak mengalami gegaran otak akibat terhantuk tadi... :-)

Kami menyambung perjalanan dan akhirnya, lebih kurang jam 5.15 petang kami berjaya sampai di Kem Sungai Merah. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana gembiranya perasaan kami ketika itu. Tibanya kami di sini bermakna separuh dari misi kami sudah berjaya untuk menjejakkan kaki ke Puncak Gunung Semangkok.
Tiba di Kem Sungai Merah
Kem Sungai Merah ini ada ditanda dengan signboard. Tempatnya agak luas, boleh memuatkan dalam 15 orang dalam keadaan yang agak selesa. Cuma ada beberapa tempat yang ada banyak akar kayu, yang menyebabkan anda sakit badan dan tak berapa selesa bila nak tidur nanti.

Berhampiran dengan campsite, ada sungai kecil yang sangat selesa untuk mandi, mengambil air minuman, memasak dan sebagainya.

Tanpa membuangkan masa, kami memasang fly sheet dan membentang ground sheet, sebagai tempat berteduh. Kami tidak membawa khemah, kerana hendak mengelakkan membawa barang2 yang terlalu berat. Perlu diambil perhatian, kem sungai merah ini ada banyak nyamuk dan agas, jadi seeloknya anda bawa ubat nyamuk untuk mengelakkan serangan nyamuk yang bertalu2, yang akan membuatkan anda tak senang duduk. Di malam hari dan di awal pagi, kawasan ini agak sejuk, oleh itu, sekiranya anda ke sini, bawalah sleeping bag atau baju sejuk untuk mengelakkan anda terketar2 kesejukan.

Malam itu kami tidur awal, kerana bercadang untuk bangun seawal 4.30 pagi esok. Kami bercadang untuk memulakan pendakian ke Puncak Gunung Semangkok awal2 pagi. Ini adalah kerana, kami benar2 tidak pasti berapa lamakah masa yang akan kami ambil untuk sampai ke puncak. Mahu atau tidak, kami perlu keluar dari hutan tersebut esok juga, kerana kebetulan Hafiz perlu menduduki peperiksaan kolej pada hari Isnin.

Kerana keletihan akibat pendakian siang tadi, kami semua tidur dengan sangat lena...

Tiba2 saya terjaga, kelihatan jam menunjukkan baru pukul 2 pagi. Entah mengapa mata ini terasa segar dan tak mahu tidur lagi, ditambah pula dengan kedinginan awal pagi yang begitu sejuk sehingga menembusi sleeping bag. Kebetulan pula, saya terlupa nak bawa jaket, menahan sejuk laa saya kali ini.

Saya buat2 berdehem dengan harapan kawan2 yang lain akan terjaga. Kelihatan Hafiz memusing2kan kedudukan badannya untuk mencari pembaringan yang selesa dan bebas dari refleksologi percuma akar2 kayu.

"Hafiz, saya tak boleh tidur laa, mata dah tak mengantuk, jom laa kita bergerak ke puncak sekarang", pujuk saya kepada Hafiz yang sudah menunjukkan tanda2 sedar dari tidur.

"Haaa?.. awal lagi ni...", jawab Hafiz dalam keadaan mamai, lantas terus melenyapkan kesedarannya, kembali ke alam tidur. Errmmm... saya jugak yang termangu sorang2.. Oleh kerana tidak tahan dengan suhu yang begitu sejuk, saya mengambil beg plastik hitam yang memang saya bawa sentiasa pada setiap pendakian. Lantas, saya sarungkan beg plastik itu ke kaki hingga ke paras dada... Alhamdulillah, barulah rasa selesa dan kurang sejuk. Apa lagi... saya pun sambung kembali tidur...

Bersambung...

Wednesday, 24 April 2013

Gunung Semangkok (1,824 meter / 5,984 kaki) - Gunung Tertinggi Di Negeri Selangor

Bismillahirrahmanirrahim. Segala Puji Bagi Allah s.w.t Yang Maha Indah dan Maha Mengatur segala sesuatu. Selawat dan Salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w dengan Selawat yang berpanjangan dan berkekalan. Dengan izin dan limpah kurniaNya, walau dalam kesibukan yang melampau, saya masih diberi peluang dan kekuatan untuk terus mencoret pengalaman2 pengembaraan dan pendakian saya. Hampir2 saja saya tidak berpeluang meng-update blog, oleh kerana jadual pengembaraan dan pendakian saya yang terlalu padat, ditambah pula dengan tugas2 saya sebagai seorang perawat.

Sebelum ini saya menyangkakan bahawa Gunung Nuang (1,493 meter / 4,898 kaki), di Hulu Langat adalah gunung yang tertinggi di Selangor. Sehinggalah pada awal bulan April yang lalu, ketika saya mendaki Gunung Pine tree hill dan Twin Peak, melalui Bukit Fraser.

Ketika sampai di Puncak Twin Peak, sekumpulan pendaki dari Raub, Pahang yang kebetulan ada di situ, memberitahu saya bahawa, bertentangan dengan Puncak Twin Peak itu adalah Puncak Gunung Semangkok, Gunung yang tertinggi di Negeri Selangor. Menurutnya, terlalu jarang pendaki yang dapat sampai ke Puncak Gunung Semangkok. Ini adalah kerana treknya agak sukar, tidak berapa jelas, serta agak merbahaya. Mungkin kerana mereka melihat hari itu saya hanya mendaki secara bersendirian, mereka menasihati saya agar jangan naik ke Puncak Gunung Semangkok secara berseorangan. Berulang kali mereka mengingatkan saya. Dengan tersenyum saya menganggukan kepala, tanda faham kebimbangan mereka terhadap saya.

Sekembali dari mendaki Gunung Pine tree hill dan twin peak, sampai saja di rumah, saya mula mencari info berkenaan dengan Gunung Semangkok di internet. Entah mengapa, hati saya melonjak2 untuk ke sana, puncak Gunung Semangkok seolah2 memanggil2, tak senang duduk saya di buatnya.

Benarlah sebagaimana yang pendaki2 tersebut kata, menurut info di internet, Gunung Semangkok adalah Gunung yang tertinggi di Negeri Selangor. Ianya mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.

Namun, apa yang memeningkan saya, boleh dikatakan hampir2 tiada langsung info berkenaan dengan pengalaman2 pendaki yang pernah mendaki Gunung Semangkok ini. Setelah puas mencari, tiba2, saya terjumpa satu blog yang menceritakan tentang Gunung Semangkok, namun penceritaannya tidak lengkap, penceritaan yang agak umum, tidak ada banyak gambar mahupun video yang boleh dijadikan panduan untuk mendaki. Menurut blog tersebut, pendakian Gunung Semangkok dikategorikan sebagai tahap "Hardcore 5 Bintang".

Saya nekad untuk menghubungi tuan punya blog tersebut. Setelah beberapa kali berbalas email, walaupun perkongsian info-nya agak terhad, akhirnya saya rasa yakin, insyaAllah saya boleh sampai ke Puncak Gunung Semangkok.

Pada awalnya, saya bercadang untuk mendaki Gunung Semangkok di pertengahan bulan Mei, selepas saya kembali dari Misi Pendakian Gunung Mulu dan Pinaccle nanti. Tetapi, hati ini seperti tidak dapat di tahan2 lagi, meronta2 dan memberontak ingin agar saya segera meredah hutan di sempadan Pahang dan Selangor untuk menyahut panggilan Puncak Gunung Semangkok. Akhirnya, saya membuat keputusan nekad untuk memulakan pendakian pada 20 April 2013 yang lalu.

Saya mula mengatur "line-up" pendakian, tetapi meng-hadkan kepada 4-5 orang pendaki sahaja. Saya tidak berani mengambil tanggungjawab dan risiko jika terlalu ramai peserta, ini adalah kerana saya sendiri tidak tahu, apakah perkara2 yang bakal saya tempuh sepanjang pendakian nanti. Bagaimana keadaan trek, tahap bahaya, "water point" di sepanjang pendakian, semua info2 itu sangat terhad dalam pengetahuan saya. Saya juga bertekad didalam hati, sekiranya pendakian ini berjaya, insyaAllah saya akan mendokumenkan perjalanan pendakian ini, moga2 ianya menjadi rujukan yang bermanfaat untuk pendaki2 lain yang bercadang hendak mendaki Gunung Semangkok nanti.

Pintu Masuk ke Gunung Pine Tree Hill, Twin Peak dan Gunung Semangkok
Pada 20 April 2013, bersamaan dengan hari Sabtu, hari penamaan calon untuk pilihanraya ke 13 bagi Negara Malaysia, tepat jam 9.55 minit pagi, saya beserta 3 orang pendaki yang lain, En Hafiz, En Azmir dan En Zainul mengatur langkah, memasuki "Pintu Rimba" melalui Gerbang Pine Tree Trail di Bukit Fraser, untuk Misi Cabaran Gunung Semangkok.

En Hafiz seorang pendaki yang sangat berpengalaman, dan pengalaman beliau itu boleh saya kategorikan sebagai tahap "guide". Oleh itu, secara tidak rasmi, saya lantik beliau menjadi ketua ekspedisi ini. Begitu juga dengan En Azmir, sudah berpengalaman mendaki beberapa gunung sebelum ini, jadi saya tidak terlalu risaukan beliau, dan saya yakin beliau boleh menyesuaikan diri dengan pendakian "hardcore" sebegini.

Namun, bagi En Zainul, beliau belum pernah berpengalaman mendaki gunung, cuma beliau pernah mendaki Bukit Broga di Semenyih. Berulang2 kali saya mengingatkan beliau bahawa pendakian ini adalah tahap "hardcore" dan saya tidak dapat menjamin keselesaan dan perasaan nyaman didalam misi ini. Dengan penuh semangat, En Zainul tetap juga mahu menyertai misi ini dan bersedia menerima cabaran2 yang mendatang disepanjang pendakian nanti.

Pendakian Gunung Semangkok ini akan melalui puncak Gunung Pine Tree Hill dan Puncak Twin Peak. Dengan perjalanan yang santai dan bersahaja, kami mengambil masa lebih kurang 2 jam 40 minit untuk sampai ke Puncak Pine Tree Hill, dan ditambah lagi dengan lebih setengah jam perjalanan untuk kami menjejakkan kaki ke puncak Twin Peak. Setelah menikmati makan tengahari di puncak Twin Peak, maka bermula lah perjalanan kami ke Puncak Gunung Semangkok.

Di Puncak Gunung Pine Tree Hill

Di Puncak Gunung Twin Peak
Gunung Semangkok (anak panah merah), pemandangan dari Puncak Gunung Twin Peak

Bersambung...

Wednesday, 6 March 2013

Pendakian Gunung Kinabalu Melalui Trek Mesilau - Mac 2013

Bismillahirahmanirrahim, Segala puji bagi Allah s.w.t pada setiap kerdipan mata dan turun naik nafas. Selawat dan Salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w, nabi junjungan, rahmat untuk sekelian alam.

Terlebih dahulu ingin saya menzahirkan ucapan kesyukuran kehadrat Allah, dengan izin dan limpah kurnianya berjaya sudah misi pendakian Geng Aura Gunung seramai 20 orang ke Gunung Kinabalu pada 4-5 Mac baru2 ini. Terima kasih kepada En Muhammad Ariff yang bersusah payah mengelolakan trip ini sehingga berjaya. Kepada semua peserta juga, saya ucapkan terima kasih dan tahniah.

Pendakian saya ke Gunung Kinabalu kali ini adalah pendakian yang ketiga. Kali pertama adalah pada 19 Julai 2012. pendakian kali pertama saya gagal sampai ke puncak kerana masalah AMS (Accute mount sickness), penyakit gunung yang membuatkan seseorang mengalami sakit kepala yang amat sangat, mual2 dan muntah. Saya juga dipukul hujan dan ribut sejurus saja pendakian bermula melalui timpohon gate.

Tidak berputus asa dengan kegagalan tersebut, saya menyusun langkah dan azam yang baru untuk sekali lagi menyahut cabaran mendaki gunung kinabalu dua bulan selepas itu iaitu pada 23 September 2012. Kali ini, saya benar2 telah bersedia, dari segi persediaan, dari sudut fizikal dan juga mental. Alhamdulillah, bermula dari timpohon gate pada jam 10.30 pagi walaupun sekali lagi mendaki didalam hujan, saya berjaya sampai di laban rata seawal jam 2 petang.

Perancangan rapi kami susun, kerana risaukan pendakian kami yang mungkin perlahan, kami bergerak dari Laban rata untuk menuju ke puncak seawal jam 1 pagi, walaupun terpaksa membayar sedikit wang kepada guide, kerana waktu standard untuk ke puncak hanyalah pada jam 2.30 pagi.

Syukur ke hadrat Allah, kami cukup bersemangat, cukup teruja, stamina yang mantap, walaupun meredah pendakian didalam hujan, akhirnya saya sampai ke gate yang terakhir di sayat-sayat sebelum meneruskan perjalanan ke puncak. Ketika saya sampai, gate masih tutup, kawasan tersebut masih gelap, renjer pun masih belum kelihatan. Hujan semakin lebat...

Setelah hampir setengah jam menunggu, kelihatan dari jauh ada lampu yang di suluhkan ke arah saya, sambil kedengaran jeritan yang sayup-sayup.. jeritan apakah itu?? saya tak pedulikannya, saya hanya mendiamkan diri, walaupun saya mengesyaki itu adalah jeritan menyuruh saya patah balik ke laban rata kerana hari hujan. Hati saya menafikannya dengan harapan jeritan panggilan balik itu semua hanyalah perasaan saya.

Setelah susuk tubuh itu menghampiri saya kira2 dalam jarak 50 meter, sekali lagi jeritan itu kedengaran. Kali ini jeritan itu jelas... jeritan yang bakal menghampakan harapan saya untuk kali yang kedua... "Balik... Balik... hujan lebat.. air naik sudah!!!"...

Rupa2nya itulah renjer yang sepatutnya menjaga gate di sayat-sayat.. Tanpa sebarang reaksi penentangan, saya akur dengan renjer tersebut. Saya patah balik ke Laban rata dengan diiringi renjer tersebut... walaupun tidak sampai ke puncak, saya redha dengan ketentuan Allah dan saya puas dengan persediaan saya kali ini...

Kini... sejak peristiwa yang menghampakan itu, sudah 5 bulan berlalu. Dalam masa 5 bulan ini saya memperbaiki skill2 pendakian, menimba ilmu dan menambah pengalaman didalam pendakian dan aktiviti outdoor. Suka duka, susah senang, kesakitan, kegembiraan, kekecewaan semuanya saya lalui, saya tempuh... dan pengalaman2 itulah yang menempa, membentuk dan menambah jati diri ini.


Pendakian ke Gunung Kinabalu kali ini adalah seramai 20 orang. Ada yang baru kali pertama mendaki gunung, ada yang baru berpengalaman mendaki beberapa gunung, dan ada juga pendaki legend seperti Abg Md Zin Samsuri... :-)

Pendakian kali ini adalah dengan mengikuti laluan Mesilau, dimana trek Mesilau ini adalah trek yang agak panjang, lebih 2 kilometer berbanding trek melalui timpohon gate. Walaupun lebih jauh sedikit, namun pemandangan di sepanjang trek Mesilau ini sangat menarik dan agak "angker", hinggakan ada sahabat pendaki yang terdengar suara azan yang agak jelas didalam hutan... siapa yang azan di tengah2 hutan tu? Wallahu'aq'lam... :-)

Ok.. di ringkaskan cerita... hampir kesemua peserta berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Walaupun dengan bersusah payah... Ada yang mengalami kecederaan lutut yang serius... Ada yang terjatuh.. Ada yang terkena serangan AMS yang serius... Ada yang meredah trek didalam kegelapan dan kesejukan malam kerana masalah headlamp... Pelbagai perasaan suka dan duka... kecewa dan hampir putus asa.. mungkin perasaan marah pun ada...

Mungkin kita akan menganggap peserta yang sampai awal itu yang hebat.. peserta yang laju itu yang otai dan sebagainya...

Tapi ingatlah... "Puncak Gunung itu hanyalah satu titik destinasi, Pengalaman di sepanjang pendakian itulah yang paling utama"...

Sahabat-sahabat semua... Pada saya, sebenarnya mereka2 yang mendaki dengan perlahan2, mungkin kerana kurang stamina, terlalu penat, kurang persediaan, atau mungkin kerana mengalami kecederaan, mungkin kerana tidak berpengalaman... mereka2 ini bertempur dengan perasaan2 mereka sendiri di sepanjang pendakian... sedih, menangis, kecewa, marah, sakit hati, takut, panik, hampir-hampir berputus asa... Tetapi mereka tetap meneruskan perjalanan... ada yang sampai lewat petang... ada yang sampai lewat malam... dengan penuh kepayahan dan kesukaran mereka meneruskan perjalanan... akhirnya mereka sampai ke destinasi...

Pada saya... mereka2 inilah sebenarnya yang kuat.. mereka2 inilah sebenarnya yang mempunyai hati yang teguh, jati diri yang kuat, kesabaran yang tebal, semangat tempur yang ampuh... Mereka mendaki didalam ujian... dan mereka telah lulus ujian itu...

Sahabat-sahabat semua... duka dan kecewa semalam mungkin membuat kita serik untuk mencabar diri dan menempuh cabaran lagi... Tetapi hakikatnya, selagi kita hidup, selagi itulah kita akan dicabar dan tercabar dengan takdir dan ketentuan hidup kita. Mahu atau tidak, kita tetap akan menempuh cabaran2 tersebut.

Sekali lagi, saya mengucapkan berbanyak2 terima kasih dan tahniah kepada semua peserta yang mengikuti trip Geng Aura Gunung dalam misi pendakian Gunung Kinabalu, Mac 2013. Saya memohon maaf jika ada sebarang tutur kata, atau sikap saya yang menyinggung perasaan sesiapa...

Akhir kata dari saya, Jangan serik untuk mendaki... "Dari tegap bersimpuh, baik rebah merempuh"....

wassalam.
Pintu masuk ke Gunung Kinabalu melalui Trek Mesilau
Pemandangan melalui laluan trek Mesilau
Sampai di Puncak Gunung Kinabalu seawal jam 4.15 pagi
Menanti matahari terbit di Puncak Gunung Kinabalu
Matahari menunjukkan sinarnya, dari sudut pandangan Puncak Gunung Kinabalu
Dalam perjalanan turun dari Puncak Gunung Kinabalu